Mengapa Ada Trainer Banyak Bercakap Sehingga Membosankan Peserta


Banyak bercakap bukan pekerjaan trainer, namun ada trainer yang banyak bercakap. Dalam sesi training, trainer bercakap 10% sahaja. Selainnya para peserta menjalani latihan.

Majoriti mereka yang mahu menjadi trainer sudah sedar bahawa sebagai trainer mereka tidak boleh banyak bercakap, namun mereka tetap banyak bercakap di hadapan peserta. Jadi, mereka sudah mempunyai awareness, sudah sedar bahawa sebagai trainer mereka tidak boleh banyak bercakap, tetapi pengetahuan dan awareness itu tidak menjamin bahawa mereka pandai bercakap sedikit.

Penceramah wajib mempunyai skill bercakap banyak. Manakala trainer pula wajib mempunyai skill bercakap sedikit.

Bercakap sedikit adalah suatu skill yang perlu dipelajari dan dikuasai. Bagi seseorang yang mempunyai banyak ilmu dan maklumat, bercakap sedikit adalah sukar. Ia memerlukan disiplin tinggi bagi menutup mulut pada saat keinginan bercakap sangat tinggi.

Dalam budaya kita, kepandaian bercakap di hadapan audiens disamakan dengan kepandaian otak dan kehebatan ilmu. Bakat pandai bercakap adalah bakat yang diberi nilai tinggi oleh masyarakat. Semakin seseorang itu pandai bercakap di hadapan khalayak, semakin dia dipandang sebagai orang yang pintar dan mempunyai ilmu. Ini adalah suatu falasi yang disangka kebenaran. Justeru banyak orang sangat berusaha mahu menjadi orang yang pandai bercakap.

Namun, dalam sesetengah profesion, semakin seseorang itu kurang bercakap, semakin hal itu menjadi faktor penting bagi kejayaan dalam profesion itu. Sebagai contoh, kerjaya sebagai saintis penyelidikan, penyelam, akauntan, doktor bedah, pilot dan hakim adalah contoh-contoh profesion yang tidak memerlukan bakat pandai bercakap berapi-api di hadapan audiens. Dalam bidang training, jika trainer sangat pandai bercakap, hal itu belum tentu bagus. Ada risiko di mana sesi trainingnya menjadi sesi dia berceramah.

Antara faktor-faktor yang menjadi punca adanya trainer yang cenderung banyak bercakap meskipun mereka sudah tahu mereka tidak boleh bercakap banyak adalah:

1. Apabila trainer itu pernah menjadi pensyarah universiti ataupun guru.

Dalam pekerjaan sebagai pensyarah dan guru, mereka MENGAJAR, itu sebab mereka perlu banyak bercakap. Bercakap dan mengajar-ajar sudah menjadi habit yang sukar dikikis.

2. Apabila trainer itu seorang pendakwah yang selalu bercakap memberi kuliah.

Dalam memori mereka tersimpan ayat-ayat yang sudah berpuluh kali, ataupun beratus kali diulang-ulang. Jadi ayat-ayat itu automatik keluar sebaik-baik mereka membuka mulut di hadapan peserta.

3. Apabila trainer itu seorang penceramah.

Penceramah sudah biasa diberi tempoh panjang bercakap, paling kurang 20 minit, malah boleh sampai 1 jam. Akibatnya, penceramah tidak puas kalau tidak bercakap panjang-panjang!

4. Apabila trainer hendak menunjukkan dia seorang yang mempunyai banyak ilmu kepada peserta.

Ini ciri utama dalam kalangan orang yang baru sahaja menceburi bisnes training. Dia terdorong banyak bercakap bagi membuktikan bahawa dia mereka layak berdiri di hadapan peserta. Dengan banyak bercakap dia cuba meyakinkan peserta bahawa dirinya layak menjadi trainer mereka.

5. Apabila trainer keliru antara objekif mengajar dan objektif melatih.

Mengajar adalah memberitahu maklumat. Melatih adalah memindahkan skill. Orang yang pandai mengajar belum tentu pandai melatih. Orang yang pandai melatih belum tentu pandai mengajar.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

No comments:

Post a Comment