Apabila orang Amerika mendengar orang Asia bercakap, mereka mendapat gambaran orang Asia adalah bangsa yang menghidap penyakit tidak konfiden, terlalu sensitif, tidak yakin diri, self-esteem rendah, dan malu yang tidak kena tempat.
Apabila orang Asia mendengar orang Amerika bercakap, mereka mendapat gambaran orang Amerika adalah bangsa menghidap penyakit riak, bangga diri, memuja diri sendiri, tidak sensitif, biadab, angkuh, takbur dan sombong.
Perbezaan ini adalah isu perbezaan antara nilai-nilai budaya Asia dan budaya Amerika.
Sesetengah trainer dan speaker tempatan menggunakan gaya bercakap sebagaimana yang disyorkan dalam buku-buku komunikasi Amerika. Ini banyak berlaku dalam kalangan trainer dan speaker yang mengamalkan tip-tip yang dituliskan dalam buku-buku terbitan Amerika.
Melalui proses pendidikan formal dan buku-buku Amerika yang mereka baca, mereka menerima pengaruh nilai-nilai budaya Barat, khususnya budaya Amerika. Di kalangan trainer yang mengendalikan program francais dari Amerika, ciri-ciri pengaruh Amerika itu lebih ketara.
Tidak semua prinsip dalam bisnes training yang dianggap baik dan betul dalam budaya Amerika dapat diterima sebagai baik dan betul dalam budaya Asia umumnya, dan budaya Melayu khusunya.
Dalam budaya Amerika, apabila bercakap di hadapan audiens, seseorang itu dikehendaki menceritakan kejayaan-kejayaan yang pernah dicapainya. Prinsip ini disebut 'walk the talk'. Kalau tidak, orang Amerika tidak terpengaruh oleh apa yang dikatakannya, tidak percaya orang itu adalah seorang yang kredibel, dan mereka tidak berminat mahu mendengar apa yang diperkatakan. Jika mendengar sekalipun, mereka mendengar dengan rasa ragu dan sangsi.
Inilah faktor yang menyebabkan orang Amerika tidak malu, malah berasa bangga, apabila menceritakan kejayaan dan kehebatan diri mereka dan anak isteri mereka kepada audiens. Mereka yang mendengar pula berasa kagum dan menghormati orang yang bercakap itu sebagai orang yang telah membuktikan dirinya sebagai bukti hidup kepada biji butir percakapannya.
Budaya Amerika adalah budaya yang menganut fahaman individulistik, di mana individu itu lebih penting daripada kelompok. Jadi, adalah natural dan wajar apabila mereka bercakap tentang apa-apa sahaja, orang Amerika akan mengaitkan topik ucapan mereka dengan diri serta kehidupan peribadi mereka.
Budaya Asia adalah budaya kelompok, di mana nilai-nilai bersama adalah lebih penting daripada nilai-nilai individu. Inilah yang menyebabkan orang Asia merahsiakan kejayaan mereka kerana dalam budaya Asia kejayaan kelompok adalah lebih membanggakan daripada kejayaan individu.
Nilai-nilai kelompok menyebabkan orang Asia sangat tidak suka kepada orang yang suka bercerita tentang kejayaan dirinya, anak isterinya, ataupun sesiapa yang dikaitkan dengan dirinya. Perbuatan bercakap dengan banyak menggunakan "saya... anak saya... suami saya... isteri saya..." dilihat sebagai sikap riak. Semakin banyak seseorang itu menceritakan hal dirinya dan keluarganya, semakin hadirin berasa tidak seronok, resah gelisah dan meluat.
------
Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.
No comments:
Post a Comment