Patutkah Trainer Memenuhi Permintaan Pelanggan yang di Luar Profesion Training


Dalam bisnes training berbahasa Melayu, lebih 90% pendapatan adalah daripada yuran yang dibayar oleh kementerian, jabatan, agensi kerajaan, yayasan dan syarikat-syarikat milik kerajaan atau GLC. Disebabkan faktor ini hampir 100% peserta kursus dan training adalah terdiri daripada keturunan Melayu dan Islam.

Mahu tidak mahu sosiologi dan budaya masyarakat Melayu mengenakan tempiasnya kepada syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan training. Salah satu jenis tempias itu adalah dalam bentuk permintaan pelanggan dan peserta yang sebenarnya berada di luar bidang training.

Sebagai contoh, ada pelanggan yang membuat permintaan yang datang dari sistem kepercayaan orang Melayu berkaitan dengan alam ghaib. Pengetahuan alam ghaib adalah di luar bidang training kerana bidang training adalah suatu cabang sains kemanusiaan.

Sebagai contoh, ada pengendali program training yang diminta supaya mengubati gangguan makhluk halus ke atas peserta. Ada juga peserta yang meminta pengendali training supaya membuat air doa penerang hati untuk anak mereka yang akan mengambil peperiksaan.

Ada pula permintaan dari ketua-ketua yang mahukan supaya trainer mengadakan aktiviti khusus di mana orang bawahannya yang bermasalah dapat dihukum dalam aktiviti itu. Sebagai contoh, ketua kepada orang bawahannya yang bermasalah mahu supaya pengendali kursus menjalankan aktiviti mengkafankan mayat, dan supaya orang bawahannya itu dijadikan mayat.

Sekiranya pengendali training memenuhi permintaan pelanggan yang seperti itu, ia menyalahi disiplin profesion training.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

No comments:

Post a Comment