Salah Sangka dalam Kalangan Pemain Baru tentang Industri Training


Semenjak 10 tahun yang lalu banyak lulusan universiti yang masih amat muda, pada usia kurang 30 tahun, ikut menceburi industri ini dengan menubuhkan syarikat training dan konsultan.

Secara amnya ciri-ciri pemain baru dalam golongan ini adalah:

1. Majoriti mereka adalah lepasan Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) dan Universiti Malaya (UM). Berbanding universiti lain, persatuan-persatuan mahasiswa UM dan UIAM paling aktif melahirkan kumpulan mahasiswa yang bersemangat mahu menjadi trainer dan konsultan.

2. Mereka pernah menjadi anggota majlis perwakilan pelajar, dan persatuan-persatuan Islam di universiti, dan aktif dalam kumpulan-kumpulan usrah sejak di kampus lagi.

3. Semasa dalam persatuan, mereka banyak terlibat dalam program-program kem motivasi yang dianjurkan oleh persatuan, di mana mereka menjadi fasilitatornya.

4. Pengalaman mereka adalah dalam program sesama pelajar, di mana mereka sebagai pemimpin pelajar memotivasi pelajar-pelajar lain. Dalam program-program itulah mereka belajar bercakap dan mendapat keyakinan mereka mempunyai bakat menjadi trainer, motivator dan konsultan.

5. Majoriti mereka adalah dari fakulti pengajian Islam  dan mereka menganjurkan kem-kem motivasi Islamik untuk persatuan mereka.

6. Disebabkan mereka sudah berani bercakap dalam program kem-kem motivasi pelajar, dan sudah pernah menjadi fasilitator, mereka menyangka dan yakin kononnya dalam dunia bisnes training sebenar itulah juga bakat dan kebolehan-kebolehan  yang diperlukan oleh sekolah-sekolah dan jabatan-jabatan kerajaan. Sangkaan inilah yang mendorong mereka membuka syarikat training masing-masing.

Apa yang berlaku, mereka memasuki pasaran terbuka dengan berbekalkan keyakinan palsu dan sangkaan-sangkaan yang meleset. Akibatnya selepas setahun ataupun dua tahun, mereka terpaksa mencari pekerjaan. Banyak yang menjadi guru dan pegawai agama.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.



No comments:

Post a Comment