Modul Training yang Berkualiti Profesional adalah Berdasarkan Aliran dan Mazhab


Salah satu faktor mengapa kualiti modul training tidak cukup profesional dan oleh itu kurang berkesan adalah disebabkan modul itu disediakan dengan tidak jelas mazhab apa yang digunakan.

Semua ilmu ada banyak mazhabnya. Modul training juga ada mazhab-mazhabnya. Trainer mesti dengan jelas menerangkan mazhabnya kepada peserta. Ini mengelakkan peserta daripada mengalami kekeliruan.

Dalam ilmu memasak rendang pun masing-masing pakar rendang mempunyai mazhab masing-masing bagi menghasilkan rendang signature mereka. Ada kelainan pada resipi mereka dan pada prosedur memasaknya.

Ambil contoh dalam kes pengurusan masa. Ada pakar pengurusan masa yang berpegang pada konsep bahawa masa adalah ibarat kuih talam. Masa boleh dipotong-potong, lalu dibahagi-bahagikan. Itulah mazhab mereka berkenaan masa dan pengurusan masa. Mazhab ini diajarkan di sekolah-sekolah. Dan mazhab ini yang paling popular, meskipun tidak menjamin ia paling produktif.

Apabila kita menghadiri kursus pengurusan masa yang berpegang pada konsep masa adalah kuih talam, kita akan belajar membuat jadual waktu, dan kita mesti taat melaksanakan jadual waktu itu. Jadi, latihan dan aktiviti kursusnya adalah sesuai dengan mazhab itu.

Ada pula pakar-pakar pengurusan masa yang menolak konsep masa adalah kuih talam atas alasan konsep itu tidak fleksibel dan tidak menjamin produktiviti yang optimum.

Dalam mazhab lain lagi, pakar-pakar mengatakan manusia mempunyai jam biologi yang tidak semestinya selari dengan jam matahari. Justeru jika seseorang itu mahu mengoptimumkan masanya dia perlu bekerja dengan mengikuti kitaran jam biologinya.

Dalam kursus pengurusan masa yang dikendalikan oleh penganut mazhab jam biologi, latihan dan aktivitinya sangat berbeza dengan kursus mazhab kuih talam.

Ada satu lagi mazhab pengurusan masa yang mengatakan manusia menjadi tidak menggunakan masanya secara optimum kerana mereka tidak tahu apa kerja yang important dan apa kerja yang urgent. Mazhab ini berpegang pada prinsip: Jangan ajar peserta mengurus masa, sebaliknya ajar peserta mengurus kerja. Jadi, latihan-latihan dan aktiviti-aktiviti dalam kursus penganut mazhab ini sangat berbeza.

Semasa seseorang trainer mengendalikan sesi trainingnya, dia boleh mengamalkan beberapa mazhab serentak. Sebagai contoh, dalam prosedur menjalankan kursus dia mungkin berpegang pada mazhab-mazhab:

Contoh mazhab training:
1. Tidak menggunakan power point sama sekali.
2. Tidak mengamalkan dasar melucutkan jawatan-jawatan peserta.
3. Tidak menggunakan perkataan 'SALAH' dan 'BETUL' apabila memberi feedback.

Contoh mazhab modul: Bukan mengurus masa, tetapi mengurus kerja.

------

Nota: Tuan boleh menerima secara percuma semua posting dalam blog ini dengan menuliskan alamat emel tuan pada jendela yang disediakan.

No comments:

Post a Comment